Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, 3 Feb: Kes gejala anak kecil lambat bertutur menunjukkan peningkatan ketara pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kata seorang pakar pediatrik.
Tanpa menyatakan statistik, Dr Kenneth Looi Chia Chuin menjelaskan trend itu dikesan berdasarkan pemantauannya terhadap kes yang diterima, dan antara penyebab utama gejala ialah keterdedahan kepada peranti secara melampau.
“Ketika PKP, kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah dan bagi mengelakkan si anak mengganggu mereka ketika bekerja, si anak dibekalkan peranti agar mereka leka dengan permainan dalam talian, video dan sebagainya.
“Ini adalah satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa terutama membabitkan anak berusia bawah 18 bulan, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan anak semuda itu langsung tidak boleh diberikan akses kepada peranti pintar,” kongsi pakar perunding pediatrik di Hospital Columbia Asia Cheras itu kepada Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada peringkat usia itu, kemahiran komunikasi si anak sedang berkembang dan mereka biasanya sudah boleh menutur dan memahami sekurang-kurangnya 10 patah perkataan selain mengenali objek dan lain-lain.
“Jika pada usia itu si anak hanya boleh menuturkan satu atau dua perkataan, maka langkah proaktif perlu diambil segera. Jangan anggap perkara ini normal dan si anak akan lancar bertutur dengan sendiri,” katanya.
Pengalaman itu dilalui oleh seorang penjawat awam, Mohd Khirul Mudarikah apabila anak lelakinya Muhammad Adwa Rizqi hanya boleh menyebut beberapa patah perkataan semasa mencapai usia 18 bulan.
“Saya mula perasan dia ada masalah bercakap apabila hanya boleh menyebut dua, tiga perkataan mudah seperti papa dan mama. Bimbang dengan perkara ini, kami bawa dia ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
“Mujurlah kami cepat sedar, dan dengan intervensi pantas termasuk sesi terapi bercakap di hospital, masalah dapat ditangani. Kini pada usia tujuh tahun, dia boleh bertutur dengan baik seperti kanak-kanak seusianya,” cerita Mohd Khirul.
Mengulas lebih lanjut, Dr Kenneth berkata tempoh penggunaan peranti bagi kanak-kanak yang lebih tua pula harus dihadkan – saranan WHO ialah hanya sejam sehari bagi kelompok usia dua hingga tiga tahun.
“Dalam hal ini, ibu bapa perlu mainkan peranan dengan memantau selain menggalakkan si anak beri perhatian kepada perkara lain melalui aktiviti bersama keluarga,” katanya.
Pada masa sama katanya ibu bapa harus mengikuti perkembangan kemahiran komunikasi si anak.
Ketika berusia 24 bulan, si anak sepatutnya sudah boleh menguasai antara 20 dan 50 patah perkataan selain mampu menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah seperti “sayang ayah”, sementara anak berusia dua hingga tiga tahun pula sepatutnya sudah boleh menuturkan lebih 50 patah perkataan serta membina ayat yang lebih panjang.
“Masalahnya, ramai ibu bapa yang berdepan masalah ini menganggap perkara itu normal dan yakin si anak akan dapat bercakap dengan lancar seiring dengan masa. Mereka tidak tahu bahawa lagi lambat mereka mendapatkan intervensi untuk si anak, lagi jauh si anak ketinggalan dalam aspek komunikasi selain terlepas tempoh kritikal untuk rawatan,” jelas Dr Kenneth.
Menurut beliau, selain keterdedahan kepada peranti, ada beberapa lagi faktor yang menyumbang kepada gejala anak lambat bercakap, termasuk masalah kesihatan seperti hilang pendengaran, gangguan perkembangan otak seperti palsi serebral atau masalah pergerakan artikulator seperti lidah terikat (ankiloglosia).
“Mungkin juga kerana keturunan, iaitu ada ahli keluarga yang pernah ada masalah lambat bercakap atau gangguan komunikasi atau mengalami sindrom perkembangan seperti gangguan spektrum autisme (ASD) atau Sindrom Down.
Dr Kenneth juga menjelaskan ada perbezaan di antara lambat bercakap dengan masalah bahasa.
Masalah bahasa bermakna si anak sukar menzahirkan atau memahami bukan sahaja percakapan tetapi juga bahasa isyarat dan bahasa tubuh, jelasnya, menambah kedua-dua masalah itu bagaimanapun saling berkait.
Statistik Institut Kebangsaan mengenai Pekak dan Gangguan Komunikasi Lain (NIDCD) pada 2015 menunjukkan prevalens lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak di negara ini ialah antara lapan dan sembilan peratus.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Perunding Juruterapi Pekerjaan di Well Rehab Centre, Lee Wei Qing berkata masalah lambat bercakap kanak-kanak boleh dirawat dengan kaedah praktikal.
Jelasnya, terapi dimulakan dengan sesi penilaian bagi membolehkan pakar terapi pertuturan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan si anak sebelum mewujudkan garis asas untuk mengukur perkembangan mereka sepanjang terapi.
“Semasa penilaian, komunikasi lisan, nombor serta jenis perkataan dan bunyi yang digunakan oleh si anak akan dinilai. Kemudian, juruterapi akan menyediakan pelan pengurusan terapi untuk ibu bapa bagi mengenal pasti matlamat yang perlu diberi tumpuan dalam program itu,” jelasnya.
Menurutnya, setiap pelan disusun berdasarkan kemampuan si anak seperti meluaskan kosa kata dan meningkatkan kefahaman mereka menerusi beberapa kaedah termasuk membaca.
“Kami juga akan membantu menyelesaikan sebarang masalah pendengaran yang berkemungkinan,” kata Lee.
Bagaimanapun kata Lee, sesi dengan juruterapi sahaja tidak memadai jika ibu bapa tidak membuat latihan bercakap dengan anak di rumah.
“Contohnya, jika anak anda bermasalah untuk menyebut bunyi tertentu seperti ‘f’, galakkan mereka untuk mengeluarkan bunyi itu dengan sendiri. Apabila bunyi itu sudah dapat dikeluarkan dengan mudah, anda boleh gemblengkan menjadi suku kata seperti ‘fi-fi-fi’ sebelum membentuk perkataan.
“Ibu bapa juga harus menumpukan pada apa yang boleh dilakukan oleh si anak kerana hal itu juga sepenting tumpuan terhadap perkembangan pertuturan mereka. Puji mereka jika mereka berjaya lakukan sesuatu seperti menyimpan barang mainan atau menggunakan tandas dengan baik,” katanya.
Namun kata Lee, kebimbangan utama sekarang ialah kebanyakan ibu bapa didapati kurang bercakap dengan anak-anak sedangkan si anak akan dapat belajar bertutur dengan baik apabila sentiasa diajak bercakap.
“Selain memastikan gangguan ‘bunyi digital’ pada tahap paling minimum, membacakan buku kegemaran kepada si anak dan kemudian minta mereka bacakan semula kepada anda juga boleh mengukuhkan lagi kemahiran komunikasi. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk anak yang belum boleh membaca, iaitu dengan meminta mereka menerangkan apa yang mereka lihat di dalam buku,” katanya. – TVS