KUCHING, 3 Feb : Anak Kampung Rajang, Awangko Hamdan Pengiran Arshad terpilih mewakili Malaysia dalam Pameran Budaya Visual Antarabangsa Ke 4, di Bangkok , Thailand yang bermula 28 Januari lalu hingga 28 Februari ini.
Program secara maya itu disertai oleh 15 buah negara termasuk Indonesia, Thailand, Turki, Korea Selatan, India, Jerman, Jordan, Azerbaijan, Kosovo, Russia, Korea, Bangladesh, Slovakia dan Serbia.
Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, penyertaan Awangko Hamdan dalam acara itu membanggakan Sarawak khususnya seluruh warga Kuala Rajang.
“Saya mendoakan semoga beliau berjaya dalam bidang yang diceburi dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Awangko Hamdan merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan juga seorang artis dan pereka terlatih lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pengkhususan seni arca seramik seni halus. -TVS