KUCHING, 3 Feb : Pemuzik Alena Murang bekerjasama dengan Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) dengan melancarkan sebuah muzik video bertajuk “Many Tomorrows” bersempena Hari Kanser Sedunia tahun ini.
Alena, 30, berkata, penglibatan dalam aktiviti amal terutamanya bagi memberi semangat kepada pesakit kanser bukanlah perkara asing baginya kerana telah didedahkan dengan ‘penderitaan’ pesakit berkenaan sejak kecil lagi.
Ujarnya, dia ‘membesar’ bersama pesakit kanser apabila ibu – bapanya sering membawanya bertemu pesakit berkenaan di Hospital Umum Sarawak.
” Ketika itu, saya menghiburkan mereka menerusi persembahan muzik.
“Sebenarnya saya juga mengenali mereka (pesakit kanser) di kampung atau bandar yang mana saya lihat mereka tidak berhenti berjuang untuk melawan penyakit berkenaan,”katanya.
Sehubungan itu katanya, tanpa ragu, dia menerima jalinan kerjasama yang dihulur oleh SCAN yang berhasrat untuk mengatasi jurang perbezaan dalam hal ehwal kebajikan pesakit kanser di seluruh dunia.
” Saya berharap lagu ini dapat memberikan kelegaan kepada penghidap kanser termasuklah mereka yang prihatin dan pada masa sama kita dapat menarik perhatian yang lebih besar terhadap isu yang dihadapi mereka,”katanya.
Sebelum ini idea penghasilan lagu berkenaan diilhamkan berdasarkan luahan pesakit kanser yang berdepan cabaran untuk mendapatkan rawatan dan amat berharap jurang perbezaan yang menyumbang kepada isu ini dapat diatasi.
Sementara itu, turut terlibat dalam penghasilan muzik video tersebut adalah penari daripada Zephyr dan ahli Persatuan Masalah Pendengaran Kuching yang menyumbang kepada pembikinan video ini dengan gerakan yang indah dan bahasa isyarat tangan.
Penglibatan pelbagai pihak jelas menunjukkan kesungguhan mereka menyebarkan mesej positif dan kesedaran tentang masalah penghidap kanser di Malaysia yang boleh diatasi dengan kerjasama ampuh semua pihak. -TVS