LAWAS, 3 Feb : Aktiviti memancing dua beradik pada hari kedua perayaan Tahun Baharu Cina berakhir dengan tragedi apabila salah seorang maut selepas terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batang kayu dalam kejadian berhampiran Batu 7, Jalan Trusan di sini.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan (DSP)Sila Kadong berkata, mangsa yang dikenali sebagai Chan Chee Kiong, 25, pergi memancing bersama adik lelakinya kira-kira jam 12 tengah hari.
” Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi memancing, mangsa tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terhantuk pada kayu balak.
Akibatnya mangsa tidak sedarkan diri dan adiknya cuba menarik abangnya ke tebing sungai tetapi gagal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa dikejarkan ke Hospital Lawas dan disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan hanya terdapat kesan kecederaan pada dahi akibat terjatuh,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -TVS