SERIAN, 30 Jan : “Jangan anggap tugas sebagai wakil rakyat untuk meraih populariti dan kedudukan sahaja, sebaliknya galas tanggungjawab untuk membantu rakyat”, demikian kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Mohd Naroden Majais kepada generasi kepimpinan baharu Sarawak.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk menyuarakan keperluan dan aspirasi masyarakat untuk membolehkan mereka menikmati pembangunan yang seiring dengan pembangunan yang berlaku di kawasan lain.
“Hampir 30 tahun umur saya diberi untuk kerja politik, saya tidak pernah melihat kerja sebagai wakil rakyat untuk meraih populariti dan mengambil untuk kepentingan peribadi.
“Kerana kita adalah suara kepada rakyat untuk rakyat mendapat kepentingan pembangunan”, katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Khas Untuk Datuk Naroden Majais, Mantan ADUN Gedong di sini, lewat malam ahad.
Dalam pada itu katanya, alasan beliau memberi laluan kepada sosok pemimpin nombor satu negeri Sarawak Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut adalah ingin melihat kawasan itu mampu berkembang pesat menjelang tahun 2030.
Tambahnya, Abang Johari adalah individu yang tepat untuk membawa Gedong menjadi sebuah kawasan yang berpengaruh dari sudut ekonomi di kawasan Samarahan pada masa akan datang.
“Ini kerana Gedong akan memunyai lingkaran jalan raya yang membolehkan kawasan ini dihubungkan dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak.
“Maka apabila kita mudah dihubungkan dengan yang lain, maka akan berlaku pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.
“Jadi masyarakat harus bersedia dengan perubahan budaya yang akan dilihat tidak lama lagi”, katanya.
Tambahnya lagi beliau sendiri akan menyokong Abang Johari untuk memastikan Gedong berubah kepada sebuah kawasan yang mana taraf hidup rakyatnya dipertingkatkan.
Dalam majlis tersebut Naroden Majais mengalirkan air mata apabila tidak dapat menahan sebak dengant penghargaan yang diberikan daripada masyarakat Gedong terhadapnya.
“Adalah menjadi impian saya untuk melihat rakyat di luar bandar untuk terus dapat menikmati pembangunan yang jauh lebih mampan.”katanya.