KUALA LUMPUR, 31 Jan : Setiausaha Politik Perdana Menteri , Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus membuat laporan polis terhadap tiga portal yang didakwa menyiarkan laporan berita palsu mengenai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Dang Wangi di sini kira -kira pukul 2.15 petang tadi.
Menurut Mohammad Anuar, laporan berkenaan dibuat selepas beliau membaca tiga berita yang masing – masing bertajuk Ismail Sabri Bimbang Jadi PM Paling Singkat,Rayu Jangan Tarik Sokongan , Ismail Rayu Jangan Tarik Sokongan Bimbang Jadi PM Paling Singkat Dari Muhyiddin dan satu lagi bertajuk Ismail Jadi PM Paling.
Menerusi salinan laporan berkenaan yang dikongsi dalam kumpulan aplikasi WhatApps Media PMO, Mohammad Anuar berkata, laporan yang diterbitkan itu mengandungi kenyataan palsu dan adalah fitnah jenayah berkaitan kenyataan Perdana Menteri.
” Ketiga – tiga portal ini dengan sengaja dan tidak beretika membuat laporan salah dengan berniat jahat dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri dan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.
Seterusnya beliau turut mendakwa ketiga-tiga artikel yang disiarkan itu telah dimanipulasi daripada kenyataan sebenar Ismail Sabri ketika dalam sidang media di Bera, Pahang pada 29 Januari lalu.
“Pada sidang media itu, ketiga – tiga pemberita portal berkenaan juga tidak hadir,” katanya. -TVS