KUCHING, 31 Jan : Kerajaan Sabah mahu bekerjasama erat dengan Sarawak meliputi pelbagai bidang yang boleh memanfaatkan kedua – dua negeri terbesar Malaysia ini.
Hasrat berkenaan disuarakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas beliau bersama delegasinya mengadakan kunjung hormat bertemu Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.
Dipetik Bernama, Hajiji berkata, kerjasama itu kelak akan membolehkan kedua – dua negeri di Borneo ini untuk mengecapi kemakmuran ekonomi bersama sekaligus memanfaatkan kehidupan rakyat masing – masing.
Ujar Hajiji, Sabah dan Sarawak memiliki banyak persamaan meliputi budaya dan sejarah malahan turut berkongsi ‘cabaran’ yang serupa dalam memacu pertumbuhan negeri masing – masing.
“Banyak bidang baharu yang boleh (Sabah dan Sarawak) manfaatkan untuk kebaikan bersama. Sebagai ahli Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kita telah bekerjasama dengan erat untuk memastikan kelulusan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 pada tahun lepas,” katanya.
Pada pertemuan hari ini, wakil Kerajaan Sarawak yang turut hadir termasuklah tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Ahmad Mohamad Asfia Awang Nassar.
Delegasi Sabah pula turut disertai Timbalan Ketua Menteri Satu, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri Kedua Sabah, Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Ketiga Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya.
Sementara itu, difahamkan dalam pertemuan berkenaan, Abang Johari turut berkongsi pandangan beliau berhubung soal hubungan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, keperluan kestabilan politik, hak-hak Sarawak serta pendirian bersama yang boleh diambil kedua-dua wilayah berkenaan untuk mendapatkan hak -hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. -TVS