BINTANGOR , 31 Jan : Seramai 77 orang penduduk hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Rumah Rangsa Jimat di Nanga Meluan Julau, hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota dengan kekuatan dua jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 pagi.
Namun sebaik tiba di tempat kejadian katanya, Bomba mendapati kediaman tersebut musnah 100 peratus.
Ujarnya, kebakaran turut mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton saga musnah apabila tidak sempat dipindahkan ke lokasi selamat.
“Kita difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas merasai bahang panas sebelum bertindak mengejutkan penghuni lain untuk menyelamatkan diri.
“Pada awalnya, mereka cuba membuat pemadaman awal menggunakan Alat Pemadam Api (APA) namun gagal kerana api marak dengan cepat,” Katanya ketika dihubungi.
Nicholas berkata, kebakaran dipercayai bermula pada bilik nombor enam seterusnya merebak ke kiri dan kanan bilik sehingga meranapkan keseluruhan rumah tersebut.
“Sebagai tindakan susulan, kami membuat pemadaman menggunakan pam angkut yang dipasangkan pada 100 meter dari lokasi kebakaran melalui kolam ikan berdekatan (air terbuka) bagi memadamkan kebakaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa kini menumpang di rumah saudara mara terdekat. -TVS