BETONG, 30 Jan : Tindakan pantas penduduk Rumah Panjang Seruai, Kampung Baru, Spaoh di sini yang cekap menggunakan alat pemadam api berjaya mengelakkan kediaman mereka mengalami kemusnahan besar akibat kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Pegawai Bomba Kanan II, Sapuan Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira pukul 11.38 pagi tadi.
Katanya, sekumpulan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong segera dikerahkan ke tempat kejadian yang terletak kira – kira 33 kilometer (km) dari balai.
” Ketika bomba sampai, kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat satu rumah berkenaan telah berjaya dipadamkan oleh penduduk dengan menggunakan empat unit alat pemadam api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati kebakaran berpunca akibat wayar sambungan yang terletak berhampiran dengan bahan mudah terbakar iaitu kain dan tilam.
“Ini menyebabkan api merebak dengan cepat ke bahagian siling rumah.
“Pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya,” katanya.
Operasi tamat pukul 1:22 tengah hari dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. – TVS