MELAKA, 30 Jan :Kerajaan yang berkonsepkan “Keluarga Malaysia” adalah kerajaan yang mendahului rakyat dan berusaha sebaik mungkin memenuhi keperluan rakyat terutama ketika dilanda bencana, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata kerajaan bersungguh-sungguh membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini dengan mempercepatkan Bantuan Wang Ihsan serta beberapa bantuan lain termasuk membaiki kenderaan, penggantian barangan elektrik serta kematian.
“Kerajaan kita adalah kerajaan yang dahulukan rakyat, tapi dalam masa yang sama kerajaan ini bukan sempurna. Kita akan bertemu cabaran-cabaran namun yang penting bagaimana kita nak uruskan masalah,” katanya pada sesi Bicara Keluarga Malaysia di Auditorium Melaka FM, Jabatan Penyiaran Melaka di sini malam ini.
Beliau berkata kerajaan telah membuat persiapan bermula Jun tahun lepas dengan memberi penekanan kepada negeri-negeri sering dilanda banjir terutama di Pantai Timur, namun tidak menyangka bencana itu berlaku di Selangor.
“Tiba-tiba Allah SWT nak uji kecekapan kita. Hujan lebat menyebabkan banjir di Selangor dahulu. Dengan keterbatasan jentera kerajaan memanglah banyak keresahan dan kemarahan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri telefon Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera minta digerakkan segala bantuan tetapi tiada suasana sempurna dalam bencana maka itu tak dapat kita nafikan. Itu situasi luar biasa,” katanya.
Menyentuh mengenai Pelan Pemulihan Negara dan vaksinasi COVID-19, Annuar berkata kedua-duanya adalah ikhtiar kerajaan yang mendapat sokongan rakyat.
“Berjayakah kerajaan ini bukan kerana kerajaan (itu sendiri), tapi kerana rakyat. Kalau rakyat sabotaj tak terima pelan pemulihan, tak terima (program) vaksin, tak patuh vaksin… jadi ini kejayaan kita sebagai satu Keluarga (Malaysia),” katanya. -TVS