KUCHING, 29 Jan : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kehilangan seorang tokoh berjiwa besar yang berjaya menyatukan rakyat berbilang bangsa di negeri ini.
Ujar Abang Johari, hakikat itu dibuktikan apabila Allahyarham Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sebanyak dua kali.
” Saya sendiri berkesempatan berkhidmat sebagai Menteri di bawah kepimpinan Allahyarham dan sudah tentu banyak nasihat yang telah diberikan, bagaimana untuk mempertahankan negeri kita supaya aman dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abang Muhammad Salauddin di Masjid Jamek di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Sarawak , Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak ketiga dan keenam itu yang meninggal dunia pada pukul 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah.
Tun Abdul Taib bersama Abang Johari turut serta menunaikan solat jenazah Allahyarham Abang Muhammad Salahuddin yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Mengenang jasa Allahyarham Abang Muhammad Salahuddin, Ketua Menteri turut berkongsi peranan yang dimainkan oleh tokoh kelahiran Sibu itu yang dijemput memberi pandangan kepada Suruhanjaya Cobbold dan seterusnya membawa kepada kemerdekaan Sarawak dan memutuskan bergabung sebagai sebuah negara dinamakan Malaysia.
Bagi pihak Kerajaan Sarawak, Abang Johari berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abang Muhammad Salahuddin.
” Saya berharap mereka (keluarga) bersabar dan kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan soleh,” katanya. -TVS