KUCHING, 29 Jan: Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah di sini akibat sakit tua.
Bernama melaporkan, perkara itu disahkan oleh Wan Ibrahim Omar iaitu menantu kepada Abang Muhammad Salahuddin yang merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketiga dan keenam.
Menurutnya kepada agensi berkenaan, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.
Agensi berita kebangsaan itu turut melaporkan Abang Muhammad Salahuddin disahkan meninggal dunia pada pukul 11.47 malam tadi.
Abang Muhammad Salahuddin yang berusia 101 tahun sebelum ini mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sebanyak dua kali dengan kali pertama pada 2 April 1977 sehingga 1 April 1981.
Pada 22 Februari 2001, Abang Muhammad Salahuddin sekali lagi dilantik menjawat jawatan berkenaan sehingga 28 Februari 2014.
Berita lanjut menyusul. – TVS