KUCHING, 28 Jan: Kerajaan Sarawak telah menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM20.6 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang layak sehingga awal bulan ini menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, sehingga tarikh tutup pada Oktober 2021, sebanyak 12,809 PKS telah menghantar permohonan.
” Bagaimanapun, sebanyak 77 peratus atau 9,955 permohonan didapati mengemukakan dokumen perniagaan yang tidak lengkap sekaligus menyebabkan permohonan mereka ditolak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan tujuh bentuk bantuan BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, proses verifikasi sedang giat dijalankan oleh jawatankuasa penilai untuk mengenal pasti sebanyak 22,110 PKS dan 24,322 mikro di Sarawak yang layak menerima bantuan.
Berhubung BKSS 8.0 yang diumumkan hari ini pula, PKS dan mikro antara yang terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri menerusi pengecualian bayaran sewa bagi yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Abang Johari berkata, pengecualian bayaran sewa berkenaan akan melibatkan kos sebanyak RM2.0 juta kepada kerajaan negeri.
“Selain itu, kita juga akan memberikan Geran Khas berjumlah RM1,000 secara sekali sahaja kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dalam tahun ini yang melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM87.5 juta,” katanya. – TVS