Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Projek songket Melayu Sarawak ‘Sarapride’ beri peluang kedua kepada penghuni penjara

ByNurul Amarlina

KUCHING, 28 Jan: Projek warisan songket Melayu Sarawak diharapkan dapat memberi peluang kepada penghuni penjara untuk menggunakan kemahiran serta menjana pendapatan sendiri selepas menjalani penahanan dan pemulihan di Penjara Puncak Borneo.

Satu kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di bawah Projek Warisan Old Kuching Smart Heritage – Penjara Puncak Borneo telah ditandatangani di Auditorium Sri Kenyalang, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, di sini, pada Rabu untuk meneruskan pelestarian warisan songket Melayu Sarawak agar tidak hilang ditelan zaman. 

Menurut kenyataan daripada Old Kuching Smart Heritage (OKSHe), kerjasama melalui projek ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai penenun yang berkemahiran tinggi dalam penghasilan kain songket Sarawak serta melahirkan penghuni yang mahir dan bersijil dalam bidang tenunan.

“Selain itu, ia dapat memartabatkan tenunan asli Sarawak di persada dunia melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif selain dapat membentuk kerjasama pintar antara pengeluar, penyelidik, pemasar dan agensi kerajaan untuk menggalakkan industri tenunan songket,” tambah kenyataan tersebut.

Kerajaan Negeri Sarawak melalui OKSHe dengan kerjasama JPM akan membangunkan Bengkel Songket yang baharu di kawasan seluas 2.5 ekar di Penjara Puncak Borneo, yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Dengan kapasiti 100 rumah tenunan, bengkel tenunan baharu ini dijangka dapat menghasilkan keluaran songket yang banyak serta berkualiti.

Agensi yang turut bekerjasama dalam projek ini adalah CENTEXS Commercial Services Sdn Bhd (CCS) yang akan mengkomersialkan dan mempromosikan produk-produk songket Sarapride di Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid.

Selain itu, pihak CCS juga akan mengembangkan penjualan menerusi platform digital. 

Memorandum Perjanjian semalam ditandatangani Datu Dr Sabariah Putit, selaku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Prestasi Transformasi dan Penyampaian Perkhidmatan) yang mewakili Kerajaan Negeri Sarawak, bersama Dato’ Nordin Muhamad, selaku Komisioner Jeneral Penjara, JPM, yang mewakili Kerajaan Persekutuan.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, selaku penaung Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam. 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Penjara Negeri Pahang, Dato’ Abdul Basir Mohamad, Pengarah Dasar Kepenjaraan JPM, Supri Hashim, Pengarah Pengurusan Banduan JPM, Ajidin Salleh, Pengarah Pembangunan Profesionalisme JPM, Ariffin Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sarawak, Mohammad Rosidek Musa, Pengarah Penjara Puncak Borneo, Hamdan Salleh Majin, Timbalan Ketua Saintis merangkap Tinbalan Ketua Penasihat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Prof. Ir Al-Khalid Othman, dan Pegawai Projek Khas OKSHE, Khuzaimah Othman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan