KUCHING, 28 Jan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memulakan Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, Op Selamat akan dilaksanakan sehingga 6 Februari depan.
Katanya, seramai 145 orang anggota polis akan ditugaskan termasuklah sembilan pegawai dan 37 bahagian trafik.
“ Selain itu, kita juga telah mengenal pasti sebanyak 25 lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan kerja-kerja pemantauan akan dilakukan dengan lebih kerap,” katanya kepada media selepas pelancaran hari ini.
Ashmon berkata, antara kawasan panas berkenaan termasuklah Tabuan, Satok dan Sekama.
Dalam pada itu, Ashmon memaklumkan tiada sekatan jalan raya akan diadakan di sekitar Kuching sepanjang tempoh Op Selamat kali ini.
“ Ini kerana sekiranya sekatan diadakan ia akan menyusahkan masyarakat dan boleh menyebabkan aliran trafik di pusat bandar akan lebih sesak, “ katanya.- TVS