KUCHING, 28 Jan: Peniaga kecil serta kumpulan yang layak menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang diumumkan hari ini dinasihatkan supaya mengemukakan dokumen peniagaan yang lengkap semasa membuat permohonan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, saranan ini diberikan memandangkan terdapat penerima yang tidak menyerahkan dokumen lengkap ketika penghantaran BKSS 7.0 sebelum ini.
“Pemprosesan permohonan bantuan dilakukan berdasarkan sistem komputer dan sekiranya maklumat diberikan tidak lengkap, ia akan menyebabkan permohonan ditolak sekaligus berlaku kelewatan pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan tujuh bentuk bantuan BKKS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Lester Matthew.Â
Bertemakan Pemulihan Sosioekonomi Rakyat, pakej bantuan itu yang secara keseluruhan bernilai RM285.47 juta itu dilancarkan Kerajaan Sarawak pimpinan Abang Johari untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat berikutan situasi semasa.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut menasihatkan pemohon yang kurang jelas dengan kriteria dan syarat BKKS 8.0 supaya merujuk kepada maklumat disediakan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang meliputi video dan info grafik penerangan.
” Selain itu orang ramai juga boleh merujuk kepada pusat khidmat wakil rakyat di kawasan masing – masing untuk mendapatkan bantuan mengisi borang permohonan,” katanya.-TVS