SARIKEI , 27 Jan : Sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menunggu bas terkejut dengan ‘kehadiran’ seekor ular sawa sepanjang lebih satu meter dalam kejadian di Jalan Repok di sini, petang semalam.
Bagaimanapun mereka bersikap tenang dan menghubungi pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Sarikei, Mirwan Shah Masri berkata, seramai lima anggotanya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.10 petang.
“Kita mendapati ular sawa itu masih berada di situ dan berjaya menangkapnya dengan menggunakan penjerut.
Operasi ini mengambil masa kira-kira dua minit,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, ular sawa batik itu dipercayai ‘keluar’ dari kawasan semak berhampiran perhentian bas itu.
Reptilai berkenaan katanya dibawa balik ke pejabat APM Sarikei sebelum dilepaskan ke kawasan yang jauh dari penempatan penduduk.
“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan bertindak sendiri dan perlu berhati-hati jika terserempak ular.
Sebagai langkah keselamatan, mereka perlu menghubungi APM atau agensi yang berkaitan untuk mendapatkan bantuan,” katanya. -TVS