KUCHING, 27 Jan : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan pentadbirannya turut mengguna pakai teori pemikir Islam, Ibnu Khaldun untuk pembangunan masa depan Sarawak.
Menurut Abang Johari, ini kerana kepimpinan tokoh hebat itu sesuai untuk dicontohi dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya kehidupan majmuk rakyat Sarawak juga telah diteliti dalam teori Ibnu Khaldun apabila kepimpinan menuntut untuk mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
“Teori kepimpinan Ibnu Khaldun boleh kita jadikan asas kepada pembangunan negeri kerana ia menuntut kita untuk mengiktiraf dan menghormati sesama manusia yang akan mewujudkan keakraban dalam hidup bermasyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Ceramah Kepimpinan Ketamadunan Ibnu Khaldun di Kompleks Islam Sarawak di sini, malam ini.

Meneruskan ucapan, Abang Johari berkata, beliau turut mengambil pendekatan berbincang dalam pentadbirannya apabila sering bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak , Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengenai teori tokoh unggul itu.
“Bukan sahaja pemimpin, masyarakat juga sekiranya mengambil pendekatan teori ini mampu membangunkan diri masing – masing pada tahap yang lebih baik.
“Justeru saya berharap pada masa akan datang, Sarawak akan kekal makmur dan rakyatnya berpandangan jauh seperti yang disebut dalam teori Ibnu Khaldun”, katanya lagi. -TVS