KUCHING, 26 Jan : Selepas 18 hari berturut-turut merekodkan sifar kematian akibat COVID-19, Sarawak hari ini melaporkan satu kematian baharu akibat wabak berkenaan.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, korban terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 64 tahun di Sri Aman yang mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Sementara itu, sebanyak 13 kes positif baharu yang kesemua berada pada kategori satu dan dua dikesan dalam tempoh 24 jam lalu,”jelas JPBN menerusi kenyataan media sebentar tadi.
Berdasarkan statistik, Miri mencatatkan kes positif tertinggi iaitu sebanyak enam kes diikuti tiga kes di Sibu.
Kuching pula menyaksikan dua kes baharu manakala Limbang dan Pusa masing – masing dengan satu kes.
Sementara itu, 35 daerah lain tidak mencatatkan sebarang jangkitan selain tiada kluster baharu dikesan.-TVS