KUCHING, 26 Jan: Ketua Hakim Sabah dan Sarawak pertama, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Jemuri Serjan, meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah kira-kira 8.30 pagi hari ini.
Beliau meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Beliau memegang jawatan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak dari 24 Jun 1994 hingga 9 Sept 1994.
Beliau juga merupakan Ketua Hakim Borneo yang kelima dan terakhir dan berkhidmat dari 11 Mac 1991 hingga 23 Jun 1991.
Memetik laporan Borneo Post, Mohamad Jemuri dilahirkan pada 10 Sept 1929 di Kuching dan menurut ahli keluarga terdekat, Jemuri tidak pernah berkahwin.
Mempunyai empat adik-beradik, beliau adalah anak kepada Serjan Wakijan dan Jede Othman.
Mendapat pendidikan awal di Madrasah Melayu Kuching dan pendidikan sekolah menengah di Sekolah St Joseph.
Beliau menamatkan Sijil Persekolahan Cambridge pada tahun 1950.
Sebagai penerima biasiswa tempatan selama setahun daripada Jabatan Pendidikan, beliau merupakan salah seorang daripada empat pelajar Melayu yang menduduki peperiksaan di Sarawak ketika itu.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai guru di Madrasah Melayu sehingga tahun 1955.
Penglibatannya dalam dunia undang-undang bermula semasa beliau berkhidmat dalam Pentadbiran Sarawak.
Beliau kemudiannya menjadi Majistret gaji pada 1 Jun 1965 sebelum dilantik sebagai Penolong Peguam Negara pada 8 Nov 1966.
Mohamad Jemuri dilantik sebagai Peguam Negara pada 1973 dan memegang jawatan itu sehingga bersara pada 1984.
Beliau bagaimanapun dilantik semula secara kontrak sehingga 31 Dis 1989 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Agung sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Borneo pada 11 Mac 1991 dan bersara daripada jawatan itu pada 9 Sept 1994.
Allahyarham Mohamad Jemuri akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Gita, petang ini. – TVS