KUCHING, 26 Jan : Seramai 25 individu terpilih menerima pingat pada Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak dan Amanat Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang berlangsung di sini hari ini.
Antara pingat yang diberikan termasuklah Pingat Johan Bakti Setia, Pingat Komisioner Jeneral Penjara Kelas Pertama, Pingat Komisioner Jeneral Penjara Kelas Kedua dan Pingat Jasa Penjara bagi mengiktiraf pelbagai sumbangan yang telah diberikan.
Majlis yang berlangsung di di Auditorium Sri Sarawak , Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Dato Nordin Muhamad.
Dalam ucapannya Nordin berkata Statistik pengulangan perlakuan jenayah oleh banduan yang dibebaskan di Sarawak berkurangan sebanyak 0.3 peratus dari 13.86 peratus yang direkodkan sebelum ini.
Ia katanya adalah pencapaian terbaik yang pernah direkodkan oleh Jabatan Penjara Malaysia Sarawak.
“Mengikut statistik melalui kadar pengulangan jenayah banduan dibebaskan di sini berkurangan dengan 0.3 peratus berbanding 13.86 peratus sebelum ini.
“Untuk gambaran semua contohnya kita ada 300 orang dibebaskan, walaubagaimanapun hanya seorang sahaja yang mengulangi jenayah yang sama,” katanya
Tambahnya Jabatan Penjara Malaysia juga akan menubuhkan satu pasukan lagi bagi mengkaji sistem keadilan jenayah di negeri Sarawak.
“Secara keseluruhannya penjara negeri Sarawak telah mencapai pengurangan banduan sebanyak 9 peratus daripada kapasiti disediakan untuk penempatan banduan jadi perkara ini telah membuatkan pihak kami di peringkat ibu pejabat akan menubuhkan satu pasukan khusus bagi mengkaji sistem keadilan jenayah yang dipraktikan di sini,” katanya lagi.
Pada majlis itu Seramai 25 orang menerima pingat, seorang penerima Pingat Johan Bakti Setia, empat orang Penerima Pingat Komisioner Jeneral(Kelas Pertama), 15 orang Penerima Pingat Komisioner Jeneral Penjara(Kelas Kedua) dan lima orang Penerima Pingat Jasa Penjara.- TVS