Kredit gambar Galau Lau
KUCHING, 26 Jan : Kerajaan Sarawak telah berjaya melaksanakan sebanyak 12,770 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak 2015.
Setiausaha Kerajaan Negeri , Datuk Amar Jaul Samion berkata, pencapaian berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Katanya, projek-projek berkenaan yang dilaksanakan menerusi perkhidmatan awam adalah bagi merapatkan jurang pembangunan di kawasan luar bandar.
“Selain itu, 330 projek rakyat juga telah dilaksanakan untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Perkhidmatan awam juga telah membantu kerajaan negeri mencapai 99 peratus bekalan air bersih di kawasan bandar dan 66.5 peratus di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam 2022, di sini semalam.
Tambah Jaul lagi, sebanyak 306,000 isi rumah di kawasan luar bandar kini sudah berjaya mendapat bekalan elektrik 24 jam.
“Setakat ini, Sarawak sudah mencapai 96 peratus rakyatnya dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam,” ujarnya lagi.
Beliau selanjutnya turut memberi jaminan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan terus menyokong dasar kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur awam, pertanian, perkilangan, pelancongan dan banyak lagi sektor sehingga ke tahap yang berkualiti tinggi dan mampan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak. -TVS