BINTULU, 25 Jan : Jejambat Nyabau Pakej Kontrak Kerja 10 Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di sini akan dibuka kepada orang awam bermula jam 11.59 malam ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan menyebut laluan yang dibuka adalah daripada laluan utama menuju ke arah Miri, iaitu bermula dari arah lampu isyarat Bintulu ke Miri.
Bagi laluan utama menuju ke arah Sibu pula akan bermula dari lampu isyarat Bintulu ke Sibu.
Menurut kenyataan itu lagi, jejambat Nyabau adalah salah satu jejambat yang terdapat di bawah jajaran seksyen Nyabau, iaitu salah satu daripada tiga jajaran seksyen di bawah WPC10 selain daripada jajaran seksyen Niah dan Bakun.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya diingatkan untuk berhati-hati apabila menggunakan jejambat tersebut dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Antaranya adalah mematuhi had kelajuan maksimum 60 kilometer sejam, tidak melepak atau berhenti di atas jejambat, tidak melakukan kerosakan (vandalisme), berlumba serta berjalan atau berlari di atas jejambat berkenaan, demi keselamatan semua.
Selain itu, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan LPB.
“Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan aliran trafik, sila hubungi Unit Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, JKR Sarawak di talian 082-230879 atau Encik Norshahrizal (TMO) di talian 011-12605145,” jelas kenyataan itu.
Jejambat di LBP Jajaran Bintulu-Miri Projek Pakej Kerja (Work Package Contract-WPC 10) Batu 5-Sungai Tangap, Nyabau merupakan jejambat terpanjang di negeri ini, iaitu sepanjang 1.23 kilometer. -TVS