KUCHING, 24 Jan : Style Series, jenama tempatan Sarawak memiliki reputasi hebat sebagai ‘juara’ inklusif dalam memuaskan citarasa fesyen pelanggan mereka.
Pada masa sama, jenama ini juga mempunyai reputasi tinggi dalam pencarian bakat baharu sebagai model.
Tidak mahu terus bertapa, Style Series kini tampil dengan koleksi terbaharu pada acara China Rouge 3.0 yang menunjukkan kepada industri bagaimana mengadakan pertunjukan fesyen yang menampilkan kepelbagaian.
Pengasasnya, Geraldine Sim berkata, beliau sangat percaya fesyen harus menyatukan manusia melangkaui komuniti, umur, saiz dan kos.
” Menerusi inisiatif ini, saya mahu memecahkan tembok persepsi bahawa fesyen eksklusif dan berkualiti hanya untuk kelompok atasan,” katanya kepada TVS.
Jelas Geraldine, dalam kebanyakkan pertunjukan fesyen mereka, antara yang ditonjolkan ialah konsep couture namun pendekatan kali ini berbeza apabila menyediakan koleksi ready to wear dan pelanggan boleh membelinya segera.
“Mesejnya ialah kami mempersembahkan koleksi yang mampu milik,” katanya.
Pada masa sama ujar Geraldine, beliau mencabar stereotaip dunia fesyen dengan menunjukan bahawa busana couture boleh tampil moden namun tetap selesa apabila digayakan.
“Sudah tentu menjadi harapan kami agar koleksi ini boleh mencetuskan fenomena menerusi kepelbagaian dan sifat inklusif fesyen yang ditampilkan,”katanya.
Menyentuh tentang model – model ditampilkan dalam pertunjukkan mereka, Geraldine menyedari setiap pelanggan memerlukan saiz yang berbeza.
” Begitu juga dengan model yang kami pilih, datang dari seluruh Sarawak, ada dari Serian , Bau dan tidak kurang yang berasal dari Sibu,” katanya.
Sementara itu, bagi Tracey Edwina Hughes, model kelahiran Serian ini berkata, setiap insan boleh mencapai kejayaan dalam bidang yang diminati asalkan rajin berusaha dan yakin dengan diri sendiri.
” Ketika kecil, saya menonton rancangan pencarian model terkenal, America’s Next Top Model yang telah memberi motivasi kepada saya.
“Bagaimanapun saya juga pernah mengharungi fasa berasa kecewa serta berputus asa kerana mempunyai saiz yang berbeza,” katanya.
Namun ujar Tracey segalanya berubah apabila dia menyedari tidak selamanya harus ‘bersembunyi’ dan perlu keluar untuk menikmati hidup.
” Ketika ini, banyak jenama fesyen sudah tampil dengan busana bersaiz besar dan ini telah memberi peluang kepada saya untuk terlibat sama,”katanya.
Sementara itu, Tyrant Wong Son, seorang lagi model yang terlibat dengan pertunjukkan Style Series turut berkongsi cerita.
“Saya menyedari tidak memiliki ketinggian ‘mencukupi’ untuk seorang model lelaki iaitu 180 centimeter (cm) dan ke atas.
” Saya hanya berketinggian 173 cm namun saya tetap berusaha mencari peluang untuk bergelar model,” katanya.
Semakin lama ‘meneroka’, Tyrant berkata, dia terkejut apabila mendapati sebenarnya terdapat model berbeza ketinggian diperlukan untuk memperagakan gaya dan saiz berbeza.
“Inilah yang menjadikan bidang ini istimewa dan bertepatan dengan maksud Style Series itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, pelbagai jenama fesyen Sarawak turut menyertai pertunjukkan kali ini antaranya Teecode, Yacutha, Mix Culture, Kesya Fatin , Lamour Eternel Jewels.
Turut menyertai ialah label dari Semenanjung Malaysia termasuklah Alia Bastamam, Eric Choong, Justin Yap, Liren dan Syomirizwa Gupta. -TVS