KUCHING, 24 Jan: Kebimbangan orang ramai terhadap kesan suntikan dos penggalak menyebabkan peningkatan pembelian panadol di pasaran sejak akhir-akhir ini.
Tinjauan TVS di sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan premis yang menjual panadol berdepan masalah kekurangan bekalan berikutan permintaan tinggi daripada pengguna.
Seorang penjawat awam, Dayang Nazirah Abang Uthman, 27,berkata, dia menyedari bekalan panadol agak sukar didapati kebelakangan ini.
” Saya terpaksa pergi sehingga tiga atau empat kedai , baru dapat beli. Dahulu, agak mudah untuk membeli panadol di pasaran,”katanya.
Seorang lagi kakitangan awam, Nur Azmina Abdul Kadir, 27, berkata, penggunaan panadol sangat penting dan beranggapan setiap rumah perlu menyimpannya sebagai langkah berjaga-jaga.
” Sekiranya demam atau kurang sihat, boleh mengambil panadol sebagai rawatan awal,” katanya.
Sementara itu tinjauan di beberapa farmasi mendapati bekalan panadol ‘tidak putus’ namun mengalami kekurangan bekalan seperti dakwaan orang awam.
Pegawai farmasi di JOM Pharmacy, Tan Mui Hoon berkata, pembelian panadol semakin meningkat susulan pengambilan dos penggalak.
” Mereka (pelanggan) membelinya sebagai persediaan untuk mengelakkan kesan sampingan seperti demam atau mengurangkan kesakitan selepas menerima suntikan vaksin dos penggalak,” katanya.
Menurutnya, masalah kekurangan panadol bukan hanya berlaku di Sarawak namun turut melanda negeri – negeri lain.
Sementara itu, Joyce Ling yang merupakan pegawai farmasi di Mana Pharmacy berkata, premisnya telah kehabisan stock panadol ActiFast sejak beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Johnny Pangkas berkata, orang ramai tidak boleh terlalu bergantung kepada penggunaan panadol kecuali jika benar-benar memerlukannya.
“Nasihat saya, kalau ada kesan sampingan selepas suntikan, boleh mengambil panadol namun jika tidak begitu teruk, tidak perlulah mengambil ubat berkenaan,” katanya.
Katanya, sekiranya mengalami demam yang berpanjangan , orang ramai dikehendaki mendapatkan rawatan di klinik atau hospital untuk pemeriksaan terperinci.
Tambahnya lagi, terdapat kemungkinan ia bukan disebabkan oleh suntikan vaksin tetapi mungkin akibat jangkitan lain seperti demam denggi atau malaria yang memerlukan pemeriksaan lebih lanjut. -TVS