KUALA LUMPUR, 24 Jan : Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memerintahkannya membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Ahmad Zahid, 69, berkata secara peribadi beliau akur dengan perintah yang diputuskan mahkamah kerana itu adalah hak mutlak hakim.
“Pasukan guaman saya akan meneruskan guaman ini (kes ini) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tadi. Tarikh-tarikh (bicara bela diri) telah ditetapkan dan tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan yang dihadapinya, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini pada pukul 9.03 pagi dan beredar pada 10.45 pagi.
Hampir 100 penyokong Presiden UMNO itu dilihat berkumpul di pekarangan mahkamah sejak 7.30 pagi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimilikinya selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
— TVS