KUCHING, 23 Jan : Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan RM10 juta untuk projek pembinaan semula dua buah sekolah daif di Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang dan SK Long Loyang yang memerlukan penambahbaikan segera.
Katanya, sebelum ini murid – murid di kedua -dua sekolah berkenaan belajar dalam suasana kurang selesa disebabkan pelbagai masalah.
“ Dua sekolah ini juga sering dilanda banjir dan menyebabkan berlaku kerosakan pada struktur bangunan.
“ Sehubungan itu, kita berharap setelah proses pembinaan semula selesai, murid – murid akan dapat belajar dalam suasana yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan Cek Projek Kecil Luar Bandar bagi kawasan Telang Usan di Miri kelmarin.
Mengulas lanjut, Danny berkata, langkah berkenaan membuktikan kerajaan sentiasa mahu memastikan murid- murid di kawasan pedalaman turut menikmati prasarana pendidikan yang lebih selesa dan kondusif.
“ Projek pembinaan semula sekolah ini akan dilaksanakan pada tahun ini dan kita berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang akan bermula pada bulan depan.
“ KPM akan memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook . -TVS