KUCHING, 22 Jan : Sarawak meneruskan perjuangan menuntut hak hasil di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pada masa sama, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan beberapa lagi hak Sarawak yang belum diserahkan akan ditunaikan.
” Ini selaras seperti apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Solidariti Anak Muda 2022: Ngelayo Bersama Belia Kampung anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak di sini hari ini.
Sharifah Hasidah mengulas mengenai kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sarawak mempunyai kaedah tersendiri dalam melakukan sebarang rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan perjuangkan secara teratur dan kami akan lakukan dengan sebaik mungkin setelah mendapat mandat besar daripada rakyat,” katanya.
Menurutnya, komitmen untuk melindungi hak negeri dan rakyat Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan ini dibuktikan dengan keputusan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mewujudkan portfolio khas berkenaan MA63. -TVS