KAPIT, 22 Jan : Harga barangan lebih murah berbanding di pasaran membuatkan penduduk Sarawak mahu Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilancarkan kerajaan sejak Disember lepas diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
Seorang suri rumah yang menetap di bandar Kapit, Catherine Lau Hui Lan menyifatkan program tersebut memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan berikutan harga barangan yang ditawarkan sangat berpatutan.
“Hari ini saya datang untuk beli barangan makanan sebagai bekalan anak-anak ke sekolah dan saya dapati rata-rata harganya lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Diharap program ini dapat diteruskan kerana ia langkah yang baik bagi membantu rakyat,” katanya ketika ditemui di tapak jualan program itu di perkarangan Dewan Suarah Kapit, hari ini.
Dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama rakan strategik tempatan iMart Excel Sdn Bhd, program dua hari yang bermula hari ini berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang.
Antara barangan keperluan harian yang dijual adalah beras, tepung, minyak masak, garam, bawang, teh, kopi dan gula.
Meskipun terpaksa beratur panjang untuk imbasan MySejahtera dan bilangan pelanggan yang dihadkan, tinjauan Bernama mendapati pengguna yang datang terus meningkat dan menanti giliran masing-masing dengan sabar.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung Elizabeth Jalak juga mahukan program Jualan Keluarga Malaysia itu diadakan sepanjang masa di seluruh Sarawak.
“Diharapkan kementerian dapat meneruskan program ini kerana ia dapat membantu golongan berpendapatan rendah lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan program Jualan Keluarga Malaysia dimulakan 4 Dis lalu, dengan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga antara 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dan merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu menangani isu kenaikan harga barang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik sebagai berkata, program jualan tersebut dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan. – TVS