KUALA LUMPUR, 22 Jan : Perkembangan terkini di Institut Jantung Negara (IJN) menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara yang melawat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedang dirawat di sini.
Difahamkan, Ismail Sabri tiba kira – kira pukul 5.35 petang tadi dan meninggalkan IJN sekitar 20 minit kemudian.
Tinjauan TVS di sini sejak pukul 5 petang tadi mendapati hampir 100 petugas media termasuk media asing kini berkampung di hadapan IJN di Jalan Tun Razak.
Sekitar pukul 6.30 petang tadi, kelihatan dua kenderaan dipercayai membawa VVIP keluar dari perkarangan IJN selepas melawat Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas enam hari menerima rawatan.
IJN dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan bekas Perdana Menteri itu hari ini. -TVS