KUCHING, 21 Jan : Lazimnya infrastruktur, bangunan dan kemudahan dibina tanpa mengambil kira keperluan komuniti orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, kekurangan aksesibiliti ini kemungkinan berpunca daripada infrastruktur yang kurang serasi, perancangan pembangunan yang tidak teratur atau ketinggalan zaman, dan sikap sesetengah masyarakat yang tidak memahami keadaan orang lain.
Beliau berkata, aksesibiliti untuk komuniti OKU fizikal perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan diskriminasi terhadap golongan tersebut.
Beliau mengambil contoh golongan kanak-kanak, golongan emas, dan mereka yang tercedera seperti patah kaki yang menghadapi masalah dari segi mobiliti.
“Dengan peningkatan jumlah penduduk yang semakin tua, kemungkinan besar kita perlu bergantung pada penyesuaian dalam persekitaran kita.
“Tempat-tempat awam seperti kedai, pusat membeli-belah, restoran, hotel, bank, sekolah, kolej, universiti, taman hiburan, hospital, rumah ibadat, muzium, stadium, pawagam dan lain-lain haruslah boleh diakses oleh semua,” katanya ketika berucap di bengkel memperkasakan golongan OKU di Lot 10, Boutique Hotel, di sini pagi Jumaat.
Tambahnya lagi, bangunan-bangunan lama perlu diubahsuai secara munasabah seperti melebarkan pintu untuk mempermudahkan laluan kerusi roda, menggantikan tangga dengan tanjakan, menyediakan kemudahan tandas yang mudah diakses, dan menempatkan suis lampu serta pemegang pintu di tahap yang mudah dicapai oleh semua.
Beliau juga menyarankan agar majikan lebih peka dengan keperluan pekerja OKU mereka seperti menyediakan tempat bekerja yang mudah diakses oleh pengguna kerusi roda.
“Memperbaiki aksesibiliti fizikal mampu mempertingkatkan lagi kualiti hidup, memberi kebebasan dan mewujudkan integrasi sosial yang lebih baik,” katanya lagi.
Bengkel anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Wishesland itu bertujuan untuk berkongsi kepentingan aksesibiliti golongan OKU di tempat awam dan tempat kerja serta mengeluarkan idea-idea baharu untuk meningkatkan aksesibiliti tersebut. – TVS