KUCHING, 21 Jan : Kementerian Utiliti dan Komunikasi Sarawak akan menetapkan sasaran liputan 100 peratus kawasan di negeri ini yang akan mendapat akses air dan elektrik menjelang tahun 2025.
Menteri Muda II Utiliti & Komunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, memaklumkan, usaha itu akan dijayakan melalui pelbagai inisiatif, termasuk Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) serta Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES).
“Dalam masa terdekat ini, saya akan berbincang dengan pegawai kita di Kementerian Utiliti, Bahagian Air, dan Sarawak Energy Berhad untuk elektrik, bagi memastikan bahawa SAWAS dan SARES ini dapat kita laksanakan secara serentak.
“Jadi kalau dapat kita gabungkan usaha kedua-duanya, ia akan memberi kemudahan untuk dinikmati masyarakat menjelang tahun 2025”, katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Pelajar Pengajian Intitusi Pengajian Tinggi di sini pada Khamis.
Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran baharu kementerian tersebut yang turut dipertanggungjawabkan dengan portfolio baharu.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, berkata khidmatnya dalam kementerian terdahulu telah memberi tumpuan penuh kepada usaha memenuhi keperluan air di setiap kawasan bandar dan luar bandar. – TVS