SIBU, 21 Jan : Lembaga Pelabuhan Rajang (RPA) disaran mengaplikasikan teknologi terbaharu bagi menghadapi senario ekonomi yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia penting bagi menguasai kecekapan dalam bidang teknologi yang semakin canggih demi kesiapsiagaan mengharungi proses pemulihan ekonomi.
“Apabila ekonomi bertambah baik, perniagaan akan bertambah baik. Adakah anda mampu mengatasi dari segi perisian, peralatan, lebih banyak pelaburan dan sebagainya?” katanya.
Uggah berkata demikian ketika menghadiri taklimat pembangunan, masalah dan pencapaian RPA semasa lawatan ke pejabat utamanya di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II, Dato Majang Renggi dan Pengerusi RPA, Datuk Joseph Salang Gandum.
Sementara itu, Douglas Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II berkata, pelabuhan di negeri ini juga dijangka memainkan peranan yang lebih menonjol dengan wawasan Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Pada masa itu nanti, kita menjangkakan jumlah eksport produk pertanian akan semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar RPA dan Pelabuhan Tanjung Manis bekerjasama rapat dan bukannya bersaing sesama sendiri.
“Ia adalah satu situasi unik di mana kedua-dua pelabuhan itu terletak di sungai yang sama,” tambah beliau.-TVS