Eksklusif
KUCHING, 21 Jan: Ketukan pintu bilik sewa di sebuah rumah di Min Chu Garden, dekat sini dibuka oleh seorang gadis yang kemudian menjemput penulis dan seorang rakan masuk.
Tidak ada sofa untuk ‘tetamu’ pada ruangan terhad yang cuma menempatkan katil dan almari baju.
Riak wajah gadis ini tidak terukir senyuman dan penulis mengesan sedikit kerisauan walaupun telah membuat ‘janji temu’ awal untuk berjumpanya.
Seketika kemudian, pintu bilik diketuk dan seorang lelaki bertatu pada lengan masuk dan terus mengambil tempat ‘duduk’ di sebelah gadis tadi.
Mereka berdua sebenarnya adik beradik yang ‘lari’ dari Sri Aman ke bandar raya ini untuk memulakan kehidupan baharu.
Namun demikian, disebabkan masalah ‘besar’ yang dihadapi mereka, kehidupan di sini tidak mudah malahan sering diburu perasaan takut setiap kali melangkah ke luar ‘mencari rezeki’.
Masalah yang dimaksudkan ialah mereka tidak memiliki kad pengenalan dan seolah-olah hidup seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sarawak.
Memulakan bicara, si abang memperkenalkan diri sebagai Jones Bejie, berbangsa Iban dan kini bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat menyelenggara kenderaan.
Dakwa Jones yang berusia dalam lingkungan 20-an itu, dia dan adiknya, Amastasia merupakan rakyat Sarawak namun tiada dokumen penting yang dapat membuktikannya.
” Saya dan adik ditinggalkan oleh ibu kandung ketika kami masih kecil dan selepas itu tinggal bersama bapa sehingga remaja. Bagaimanapun, bapa kami tidak begitu mengambil berat tentang kami.
“Dia akhirnya berkahwin baharu dan berpindah jauh dari kami sehingga menyebabkan bapa dan ibu saudara memelihara saya dan adik sebagai anak angkat,” katanya.
Menurut Jones, ketika berusia 12 tahun, ibu dan bapa saudaranya membawanya ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalan.
” Bagaimanapun saya dimaklumkan tidak layak menerima MyKad kerana sijil kelahiran tidak menyebut maklumat mengenai ibu kandung dan sejak itulah ketakutan saya bermula,” katanya.
Menyambung cerita, Jones berkata, kehidupannya sukar sejak remaja lagi kerana tidak memiliki kad pengenalan.
” Akhirnya, saya terpaksa berhenti sekolah kerana tidak ada dokumen. Saya sangat sedih ketika itu kerana tidak ada siapa yang tolong,”katanya.
Katanya, mereka berdua sudah banyak memohon bantuan namun jawapan sama yang diperolehi dan kini, setelah hampir sedekad, mereka masih ‘setia’ menunggu.
” Mereka (pihak berkuasa) minta saya untuk cari ibu kandung namun apalah yang boleh dilakukan kerana saya tidak kenal atau langsung tidak ingat wajahnya,” katanya.
Bagi Amastasia pula yang bekerja di sebuah salon berkata, seperti abangnya, dia juga terpaksa berhenti sekolah kerana ‘masalah dokumen’ yang dihadapinya.
“Saya tidak dapat mengambil peperiksaan dan terpaksa berhenti sekolah ketika itu.
Saya tidak ada jawapan kerana sekiranya dipersoalkan, ia akan menjadi perkara yang rumit untuk dijelaskan,” katanya.
Meneruskan bicara, emosi Amastasia mula terpancar namun yang dihidangkan ialah rasa kecewa, marah dan sedih dengan apa yang berlaku.
” Bila saya fikirkan, dunia ini tidak adil. Bukan salah kami kerana emak dan ayah buat salah, kenapa kami kena tanggung?,” soalnya.
Kata Amastasia, dia berasa ‘cemburu’ apabila melihat gadis seusianya boleh memohon lesen memandu dan melanjutkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.
” Saya pula hendak membeli kad sim telefon bimbit atau membuka akaun bank pun tidak boleh,” katanya.
Bagaimanapun, kedua beradik itu tetap bersyukur kerana terdapat majikan yang sudi mengupah mereka bekerja dan dapat menampung kehidupan masing – masing.
” Namun sebaik sahaja melangkah kaki keluar dari tempat kerja, saya dan adik sangat takut sekiranya kami ditahan oleh polis atau pihak berkuasa lain dan bertanya tentang IC, sesuatu yang kami tidak boleh jawab,” katanya.
Jones berkata, dia dan adiknya masih menyimpan harapan untuk hidup tanpa diselubungi perasaan takut di negara sendiri malah mahu memajukan diri mereka.
” Saya ingin menjadi seorang pelukis dan sangat teringin untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi namun kerana tidak ada IC, saya tidak boleh mohon sambung belajar,” katanya.
Jones berkata, ketika ini ‘universitinya’ untuk mendapat ilmu berkenaan bidang lukisan yang diminatinya ialah ‘Google’ dan sering mencari maklumat dan membuat bacaan di laman web berkenaan.
Amastasia juga masih menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di universiti namun ketika ini katanya, dia ‘sangat tidak memenuhi syarat’ berikutan masalah yang dihadapinya.
Menutup bicara malam itu, kedua-dua beradik ini berkata, buat masa ini mereka tiada pilihan dan meneruskan hidup seperti biasa dalam ketakutan.
” Mungkin ada sinar untuk kami berdua namun setiap kali melangkah keluar rumah, itulah kehidupan sebenar kami yang diselubungi kebimbangan apabila melihat kelibat pihak berkuasa,” kata Jones. -TVS