SIBU, 21 Jan : Seorang ibu membuat laporan polis selepas menyesaki kereta mainan anaknya yang diletakkan dalam kawasan perkarangan rumah mereka dilarikan pencuri dalam kejadian di Jalan Cheku, dekat sini pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, wanita berusia 32 tahun itu menyedari kejadian itu selepas mendapati pintu pagar rumahnya ‘terbuka’ ketika hendak keluar bekerja.
Katanya, wanita berusia 32 tahun itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati kereta jenis Jeep milik anak lelakinya yang bernilai RM900 lesap.
“Sebelum hilang, kereta mainan itu diletakkan di depan pintu rumah namun didapati hilang pada keesokannya,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu , suspek dipercayai mengangkat dan mengalih pagar automatik sebelum masuk hingga ke garaj rumah dan mencuri kereta mainan itu yang menggunakan kuasa bateri.
” Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. -TVS