BALIKPAPAN, INDONESIA, 21 Jan : Empat maut dan 22 cedera di Indonesia selepas sebuah lori kontena merempuh barisan kenderaan dan motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat, pagi tadi.
Menurut polis Wilayah Kalimantan Timur berkata, rempuhan itu berlaku di persimpangan Muara Rapak, dekat sini kira-kira pukul 6.15 pagi waktu Indonesia Tengah.
Kejadian itu berlaku apabila lori kontena berkenaan yang sarat dengan muatan cecair kapur yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun tidak dapat mengawal kenderaan berat itu lalu merempuh kenderaan dan motosikal di simpang berkenaan.
Turut tular video di media sosial yang menunjukkan dua kenderaan pacuan empat roda, dua kereta, dua van mini, enam kenderaan pelbagai guna dan 14 motosikal rosak teruk di tempat kejadian.
Pemandu lori itu mendakwa dia menukar pemanduannya ke gear rendah untuk memperlahankan kenderaannya apabila menghampiri kawasan itu dan cuba menekan brek namun tidak berfungsi.
Pihak berkuasa Indonesia turut memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca nahas. -TVS