KUCHING, 20 Jan : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai menerusi biro pendidikannya telah menyerahkan insentif pengajian tinggi kepada seramai 64 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pengagihan insentif tersebut bertujuan untuk memberi kemudahan dan manfaat kepada mereka untuk melakukan perisiapan awal melanjutkan sesi pengajian.
Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi II berkata, beliau secara peribadi turut menyimpan hasrat untuk melihat agar lebih ramai pelajar-pelajar di kawasannya berjaya melanjutkan pelajaran peringkat yang lebih tinggi.
” Jadi antara objektifnya kita mahu memberi galakan di samping menyatakan kebangaan kita mengiktiraf kejayaan para pelajar ini yang telah berusaha bersungguh-sungguh di peringkat sekolah dan berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pelajaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan pengagihan ini akan berterusan dengan nama-nama baharu yang bakal diterima oleh pihaknya nanti.
Menyambut baik terhadap usaha yang disuarakan oleh ADUN Pantai Damai, pelajar-pelajar yang menerima insentif tersebut turut memberi jaminan untuk menggunakan insentif tersebut dengan sebaik mungkin.
Malah mereka juga menyeru agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah DUN tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Bagi Muzzammil Zamir, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) , dia beriltizam untuk memanfaatkan insentif yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.
“Alhamdulilah bantuan insentif ini dapat membantu kami melakukan persediaan kemasukan kami ke universiti seperti pembayaran yuran dan pembayaran yang berkaitan dengan pengajian,” katanya.
Sementara itu , Amirah Najwa , pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Kota Samarahan, keprihatinan PBB Cawangan DUN Pantai Damai itu menjadi satu dorongan yang sangat bertepatan untuk membantu pelajar.
“Harapan saya semoga dapat memberi manfaat dan menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan kepada DUN Pantai Damai “, kata Amirah. -TVS