Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Romania tinjau peluang projek kerjasama dengan Malaysia – Duta

ByBernama

KOTA KINABALU, 18 Jan : Romania sedang meninjau peluang projek kerjasama “menang-menang” baharu dengan Malaysia yang boleh memberi manfaat terutamanya untuk rakyat kedua-dua negara, kata Duta Romania ke Malaysia dan Brunei Nineta Barbulescu.

Beliau berkata Romania yang mewujudkan hubungan bilateral dengan Malaysia sejak 1969, berharap untuk membantu negara ini dalam projek baharu yang boleh dimulakan dalam perbagai bidang seperti pertanian, tenaga boleh baharu, projek hijau, pelancongan dan pengajian akademik.

“Adalah penting pada masa ini untuk memulakan projek baharu untuk  memupuk hubungan bilateral yang baik yang ada untuk negara dan rakyat … bagi saya adalah penting untuk mengetengahkan idea baharu dan dua hari yang sibuk ini di Sabah merupakan satu suasana yang baik untuk memulakan projek baharu.

Kami juga sedang melihat untuk membantu bagi mendapatkan lebih banyak lagi pihak untuk berhubung bagi kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutamanya Sabah dengan Kerajaan Romania,” katanya dalam satu sidang media di sini malam tadi. 

Duta Besar Romania Ke Malaysia dan Brunei Nineta Barbulescu ketika mengadakan sidang media pada Selasa. Kredit: Bernama

Barbulescu menyerahkan watikah pelantikannya sebagai Duta ke Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, 10 Nov tahun lepas.

Duta Romania itu berkata bagi pengajian akademik adalah penting untuk memupuk hubungan baik antara universiti di kedua-dua negara sebagai satu platform untuk melaksanakan projek akademik yang bagus, seperti pertukaran pelajar, pensyarah dan ahli akademi. 

Beliau juga ingin berhubung dan berdialog dengan lebih banyak pengendali pelancong di Malaysia terutamanya Sabah dalam mempromosikan pelancongan untuk kedua-dua negara dan juga legenda terkenal “Sandokan the Tiger of Malaysia” dan Dracula di Romania selain makanan yang turut boleh menjadi tarikan pelancong.

“Saya suka roti canai dan roti canai telur, saya masih lagi dalam fasa ‘bulan madu’ dengan durian dan masih cuba menikmatinya ais krim dan penkek durian saya boleh makan. Di Sabah udang harimau merupakan satu keistimewaan buat saya dan saya kagum dengan kekayaan flora dan fauna di sini,” katanya. 

Barbulescu berkata dalam bidang diplomasi, projek kebudayaan juga penting kerana ia akan mewujudkan satu laluan besar untuk hubungan insan-ke-insan bagi kedua-dua negara selain daripada memahami budaya dan sejarah antara satu sama lain dengan lebih baik. 

Ditanya mengenai bagaimana Romania dan Malaysia boleh bergerak ke hadapan untuk mendepani cabaran berikutan pandemik COVID-19 dalam bidang ekonomi, beliau berkata secara praktikal selain daripada hubungan kerajaan dengan kerajaan, lebih banyak hubungan perniagaan dengan perniagaan juga harus dipupuk.

“Kami baru-baru ini meluluskan pelan pemulihan, Romania telah meluluskan berbilion Euro, ia merupakan jumlah dana yang besar bagi projek-projek diluluskan dalam lima tahun seterusnya … projek ini boleh disertai dan merupakan peluang yang besar bukan hanya menerusi kerajaan tetapi kenalan perniagaan juga,” katanya. – TVS

Tags: romania

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan