KUCHING, 18 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak akan menerima tiga balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu.
Pengarah JBPM Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, ketiga- tiga balai tersebut terletak di Lutong, Asajaya dan Kidurong sudah siap dan dijangka diserahkan kepada pihaknya pada bulan depan.
Katanya, dalam usaha memperkasakan keselamatan komuniti, pihak bomba memerlukan lebih banyak balai berbanding 38 yang beroperasi ketika ini.
” JBPM Sarawak memerlukan sekitar 20 balai bomba tambahan bagi memastikan kita dapat mencapai tahap keberkesanan yang disasarkan dalam memberi khidmat kepada rakyat negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Hero Bomba kepada tujuh penerima di sini hari ini,
Sementara itu beliau berkata, secara keseluruhan JBPM Sarawak menerima sebanyak 14,053 panggilan kecemasan pada tahun lepas dengan sebanyak 1,075 melibatkan kebakaran, penyelamatan (8,331 panggilan) selain tugas-tugas khas membabitkan 3,740 panggilan.
“Kita juga menerima tujuh panggilan palsu. Panggilan kecemasan pada tahun lepas meningkat sebanyak 4,668 panggilan berbanding tahun sebelumnya,” katanya. -TVS