Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tiada bukti kesihatan awam Omicron mampu bina imuniti kelompok terhadap COVID-19

KLANG, 16 Jan : Tidak ada mana-mana pendekatan kesihatan awam dalam dunia yang menyatakan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron COVID-19 untuk membina imuniti kelompok kepada wabak tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pendekatan itu juga masih belum dibuktikan kesahihannya.

“Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat COVID-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu.

“Yang kedua kita tidak tahu kesan ‘long’ COVID-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih ‘mild’ daripada Delta jadi kenapa tidak semua dijangkiti dengan Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron ‘milder’ tetapi ia tidak bermakna yang anda perlu dijangkitinya,” katanya.

Beliau sebaliknya menasihati masyarakat untuk tidak ‘sengaja’ menjangkitkan diri dengan COVID-19 dan terus mendapatkan dos penggalak.

Khairy mengulas berhubung laporan berita pada Khamis yang menyatakan varian Omicron itu mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi.

Khairy berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan-badan bukan kerajaan atau secara ringkasnya GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata 99 peratus daripada mereka yang dijangkiti Omicron di negara ini adalah pada kategori satu dan dua.

Mengulas berhubung statistik jumlah jangkitan COVID-19 harian yang semakin meningkat, Khairy berkata masyarakat diminta supaya tidak menilai keadaan wabak berkenaan berdasarkan statistik itu sahaja.

Jelasnya ia juga perlu dilihat dengan jumlah pesakit positif COVID-19 yang dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), yang disifatkannya masih terkawal.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjangkakan akan berlaku peningkatan kes harian pada bulan ini dan Februari depan, susulan pergerakan masyarakat sejak perayaan Krismas, cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu, perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

Jadi jangkaan KKM dalam tempoh masa sebulan dua ini, kita akan melihat sedikit peningkatan tetapi selagi kemasukan ke hospital, ICU berada dalam paras terkawal dan kadar kematian masih lagi menurun, jadi kita masih lagi dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata keadaan di Selangor juga masih terkawal walaupun negeri itu setiap hari merekodkan jumlah kes tertinggi.

“Antara sebab (kes tinggi di Selangor) adalah kemasukan pintu antarabangsa terletak di negeri itu di  mana (pengembara) berdaftar di negeri ini, walaupun bukan orang Selangor,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan