MUKAH, 17 Jan : Sebanyak 10 politeknik menerima pengiktirafan akreditasi daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Mohamad Amin Hamat berkata, sembilan politeknik menduduki kedudukan 10 terbaik tangga teratas daripada 26 institusi negara anggota yang memperoleh Anugerah Emas.
Katanya, kejayaan tersebut menunjukkan bahawa Politeknik di Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa dan ia menjadi penanda aras kecemerlangan institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik.
” Ia juga penanda aras kecemerlangan institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik daripada aspek kualiti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam terhadap politeknik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach Bahagian Kemasukan Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Zon Sarawak di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah , kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohamad Amin berkata, perkembangan ini menunjukkan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
“Ini membuktikan Malaysia mempunyai kelompok institusi yang berkualiti tinggi sekaligus memperhebatkan usaha mengarusperdana aliran TVET ini,” katanya.
Sementara itu, berhubung program outreach berkenaan, katanya , ia selaras dengan untuk mempromosi dan menyebarluas peluang pendidikan tinggi ke IPTA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta sasaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mencapai bilangan pelajar seramai 250,000 orang. – TVS