KUCHING, 14 JAN: Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak akan memperkukuhkan lagi fungsi lembaga air Sarawak untuk melestarikan penyampaian bekalan air di negeri ini.
Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata bagi mencapai aspirasi Sarawak untuk memiliki kemudahan utiliti bertaraf dunia yang boleh dipercayai, ia adalah penting bagi kementeriannya untuk menyediakan sistem utiliti yang cekap dan berkesan.
“Sarawak dikurniakan banyak sumber air, dengan semua projek pembangunan yang dicadangkan di Sarawak pada tahun-tahun akan datang, ia adalah penting untuk mempunyai penyelarasan dan kerjasama yang erat dalam kalangan agensi untuk memastikan kemampanan sumber air kita,” katanya pada Majlis Bengkel Kajian Pembentukan Satu Entiti dan Badan Korporat Bekalan Air Negeri di sini pada Jumaat.
Menurutnya lagi, penyampaian bekalan air di Sarawak tetap menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, yang telah menubuhkan empat pihak berkuasa bekalan air, iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), dan Laku Pengurusan Sdn Bhd (LAKU).
Kerajaan negeri ketika ini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mewujudkan entiti bekalan air bersepadu supaya operasi lebih berkesan dan cekap, dengan kedudukan kewangan yang lestari.
Dalam pada itu, Julaihi menggesa semua agensi di bawah kementeriannya untuk bekerjasama erat dalam usaha menyediakan perkhidmatan utiliti yang berdaya tahan, berkesan dan cekap di seluruh negeri ke arah merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang tahun 2030.
“Dalam beberapa tahun akan datang, kita juga akan memulakan lembaran baharu untuk memodenkan infrastruktur utiliti kami sekarang, selaras dengan agenda Transformasi Digital. Ini termasuk mempertingkatkan sistem pemeteran dalam sektor utiliti antara lain,” kata Julaihi.
Berhubung penempatan portfolio telekomunikasi di bawah kementeriannya, Julaihi akan memastikan liputan telekomunikasi akan diperluaskan ke seluruh negeri untuk mempercepatkan agenda ekonomi digital negeri, selain berusaha untuk mencapai sasaran 100 peratus liputan bekalan air dan elektrik bagi seluruh negeri menjelang tahun 2025. – TVS