SIBU, 13 Jan : Seorang ustazah bersama enam pelajarnya di Akademi Tahfiz Quran Raudhatul Hidayah, Rantau Panjang Sibu berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa kebakaran yang berlaku di situ hari ini.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Rorudi Umas berkata, kebakaran pada pukul 12.13 tengahari tadi telah memusnahkan ruang tamu rumah dua tingkat jenis kekal yang dijadikan pusat pengajian.
Selain itu katanya, satu unit pendingin hawa serta bahan bacaan Al-Quran juga mengalami kerosakan.
“Kebakaran hanya melibatkan 20 peratus ruang tamu berkenaan dan bomba berjaya mengawal api pada pukul 12.45 tengah hari tadi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari manakala punca dan nilai kerugian masih dalam proses siasatan. -TVS