Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pahlawan Kadazandusun ‘Avakas’ kembali lagi ke TVS!

ByFreddy Bohari

KUCHING, 13 Jan : Filem ‘Avakas’ sudah mencetuskan sensasi tersendiri ketika ia ditayangkan buat pertama kalinya oleh TVS pada April tahun lepas.

Ia menjadi kebanggaan Malaysia apabila ia dipilih untuk menyertai beberapa festival filem antarabangsa, termasuk di London dan San Francisco.

Satu paparan dalam Facebook FINAS menyatakan ia pernah menerima ‘Honorable Mention’ di London Rocks International Film Festival (LARIFF) pada November 2020 sebelum ia menjadi salah satu Pilihan Rasmi atau ‘Official Selection’ di San Francisco Another Hole in The Head Film Festival pada Disember 2020 di Amerika Syarikat.

Sebelum itu, ia juga menjadi salah satu Pilihan Rasmi di New Indie Film Festival of London (NIFF) 2020 dan Kota Kinabalu International Film Festival (KKIFF) 2020.

Filem “peribumi” dalam bahasa Kadazandusun mengenai amalan silam ‘pengait’ (pemburu kepala) itu diarah oleh seorang anak Sabah, Marc Abas.

Ia menceritakan tentang seorang lelaki tua, Avakas, yang tidak percaya seperti orang lain kepada kewujudan pemburu kepala zaman moden dipanggil ‘pengait’.

Sebaliknya dia percaya bahawa pemburu kepala adalah pahlawan yang tidak menganggap pemenggalan kepala sebagai sesuatu yang harus dibanggakan.

Ada sebab yang sulit kenapa dia berfikir begitu, walaupun dia sendiri adalah pahlawan sedemikian, seperti yang dibuktikan oleh parut luka pada lehernya dan himpunan tengkorak di dalam biliknya.

Filem ‘Avakas’ dibintangi Larry Lajinoh sebagai pemegang watak utama selain barisan pelakon lain yang terdiri daripada Marco Nicho, Joveana Jim, Che Chi, Geinod Lozitin, Peter Tobob, Julian Mickey Niun, Alvinson Julian Mickey, Bobby Christ dan Abas sendiri.

Menurut Abas ketika ia pertama kali ditayangkan oleh TVS, penonton pasti seronok menonton filem ‘Avakas’ kerana ia penuh emosi dengan elemen-elemen percintaan, kesedihan, perjuangan dan perpaduan yang digabungkan dengan harmoni.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman, pula menyifatkan ‘Avakas’ sebagai satu contoh bagi adikarya luar biasa yang dihasilkan oleh bakat-bakat kreatif dari Borneo.

“Kita (TVS) bangga menjadi stesen televisyen pertama di Malaysia yang memaparkan ‘Avakas’.

“Sabah dan Sarawak memiliki budaya yang unik, dan TVS akan sentiasa menyokong bakat dan pencipta kandungan tempatan dari Borneo. Perpaduan boleh menampilkan keajaiban,” katanya ketika itu.  

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk menonton filem ‘Avakas’ sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk menontonnya pada 15 Januari 2022 (Sabtu) jam 9.00 malam di TVS, saluran 122 Astro dan MyTV. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan