SIBU, 13 Jan : Pada mulanya, seorang ustazah yang mengajar di Akademi Tahfiz Quran Raudhatul Hidayah menyangka bunyi letupan yang didengarinya ialah bunyi mercun namun dia terperanjat apabila mendapati ia sebenarnya kebakaran yang berlaku di sekolah agama berkenaan.
Sebaik sahaja menyedari perkara itu, apa yang terlintas di fikiran Norhannah Borhan, 31, ialah mahu menyelamatkan lima pelajarnya yang berusia 13 hingga 21 tahun yang ketika itu sedang mengikuti sesi pengajian bersama seorang lagi tenaga pengajar di tingkat atas akademi berkenaan.
” Saya menjerit memanggil mereka turun dengan segera.
Ustazah Nozimah Abdullah yang sedang mengajar mengiringi mereka turun ke bawah dan keluar melalui pintu belakang,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 12.13 tengah hari tadi, seorang ustazah bersama enam pelajarnya berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa kebakaran yang berlaku di situ.
Norhannah berkata, dia bersyukur kerana semua pelajar dan rakan setugasnya terselamat namun masih berasa terkejut dengan kejadian itu.
Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Norhannah berkata, dia dihubungi oleh Nozimah yang bertanyakan sama ada terdengar bunyi letupan beberapa kali ketika menunggu waktu untuk solat Zohor.
“Pada mulanya saya ingat bunyi letupan orang bermain mercun kerana kawasan perumahan di sini diduduki majoriti penghuni kaum Cina tetapi rupanya kebakaran di akademi kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Abdul Mutalif Ja’afar ketika dihubungi memberitahu kebakaran hanya mengakibatkan pusat tahfiz tersebut mengalami 20 peratus terbakar sahaja,”katanya. -TVS