SIBU, 13 Jan : Menteri Muda Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I negeri, Dr. Annuar Rapaee meluangkan masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Dewan Kampung Jeriah.
Ketibaan Dr. Annuar bersama sekumpulan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di situ bertujuan untuk menyampaikan bantuan makanan kepada 46 orang mangsa membabitkan lima buah keluarga dari Kampung Seduan Jaya yang kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, beliau juga mahu memastikan kelengkapan yang disediakan kepada mangsa mencukupi.
Sementara itu, situasi di PPS berkenaan juga terkawal apabila seramai 17 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan ditempatkan di situ untuk membantu mangsa terjejas.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, keadaan banjir beransur pulih namun berikutan faktor cuaca kurang menentu, kesemua mangsa masih tidak dibenarkan pulang sehingga air surut sepenuhnya. -TVS