MATU, 13 Jan : Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di daerah ini menyuarakan kebimbangan mereka berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas telah mengakibatkan kenaikan paras air sungai secara mendadak.
Salah seorang penduduk kampung Jemoreng, Quratul Ikhwan berkata, setiap kali ketibaan Monsun Timur Laut di negeri ini, risiko banjir merupakan antara perkara yang perlu ditempuhi oleh mereka.
” Setakat ini, kawasan rendah sudah mula dinaiki air namun saya berharap agar keadaan tidak bertambah buruk,” katanya kepada TVS hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti 621 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri yang mampu menampung sehingga 185 067 mangsa.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya peka dengan amaran banjir bagi memudahkan pengurusan banjir di Sarawak.
Polis Sarawak pula sehingga kini turut membuat persiapan dengan seramai 3,500 anggota di seluruh negeri kini diletakkan dalam keadaan berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk atau kategori jingga bagi sembilan kawasan itu hingga hari ini.
Sarawak dijangka berdepan cuaca hujan sehingga akhir bulan ini berikutan ketibaan musim tengkujuh. -TVS