Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

3,500 anggota PDRM Sarawak diarahkan bersiap sedia hadapi banjir

KUCHING, 13 Jan: Seramai 3,500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu rakyat negeri ini berdepan bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pada masa sama, bilik gerakan banjir di setiap daerah juga akan beroperasi selama 24 jam untuk memantau situasi semasa.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti bahagian selatan negeri ini sebagai kawasan yang berisiko.

“Kita difahamkan hujan yang turun secara berterusan berkemungkinan boleh menyebabkan banjir.

“Sehubungan itu, semua anggota PDRM Sarawak diarahkan membuat pengawasan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di kawasan yang berisiko seperti penempatan di tebing sungai dan kampung-kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pembentangan Pencapaian PDRM Sarawak bagi tahun lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Aidi memaklumkan statistik jenayah di Sarawak bagi tahun 2021 menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 1,573 kes ataupun 26.28 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tambahnya, jumlah tersebut masih di bawah nilai ambang yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, kes-kes melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial pula mencatatkan peningkatan apabila 2,816 kes direkodkan sepanjang tahun lepas berbanding 1,460 kes pada 2020.

“Nilai kerugian pada 2021 adalah sebanyak RM73.5 juta berbanding RM66.5 juta pada 2020,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan