SIBU, 12 Jan : Gara – gara ‘terpesona’ dengan tawaran keuntungan mencecah 18 peratus dan hanya perlu membeli barangan di sebuah laman web, seorang suri rumah berputih mata apabila menjadi mangsa scammer online.
Wanita berusia 20-an itu tanpa berfikir panjang turut meminjam wang daripada rakannya untuk menyertai satu skim pelaburan secara e-belian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, mangsa hilang wang simpanan berjumlah RM41,038 selepas melakukan beberapa transaksi seperti diarahkan ‘syarikat pelaburan’ berkenaan.
” Pengadu begitu teruja selepas melihat satu iklan di Facebook yang menawarkan keuntungan lumayan malah dijanjikan pulangan modal setelah barang dibeli sampai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, pengadu telah membuat empat transaksi pemindahan wang ke akaun berbeza sejak 9 hingga 10 Januari lalu.
Namun, pengadu mula sedar telah ditipu apabila apabila ‘wakil syarikat pelaburan’ berkenaan memintanya untuk membuat bayaran tambahan berjumlah RM44,000 tetapi wanita itu enggan setelah kehabisan wang.
Sementara itu, seorang pembantu kedai turut mengalami nasib sama apabila rugi sebanyak RM4,102.19 selepas teruja dengan satu iklan pelaburan yang diiklankan melalui Facebook pada 22 November lalu.
“Selepas memberi butirannya, wanita berusia 20-an itu telah berurusan dengan seorang ejen yang menghubunginya pada 10 Jan lalu,” kata Collin.
Ujar beliau, pada hari yang sama, pengadu telah membuat pembayaran pertama berjumlah RM500 dan dua lagi bayaran susulan berjumlah RM3,601.19.
“Suspek kemudiannya tidak dapat dihubungi menyebabkan mangsa sedar dirinya telah ditipu,”katanya.
Dalam kes berasingan pula, seorang operator jentera lelaki berusia 30-an pula kerugian RM2,300 selepas terpedaya dengan satu iklan pinjaman wang di Facebook.
Collin berkata, mangsa yang berhasrat untuk meminjam RM10,000 dikehendaki membuat pembayaran terlebih dahulu sebagai syarat pinjaman diluluskan.
“Pengadu telah membuat tiga pembayaran berjumlah RM2,300 sejak 29 Disember sehingga 3 Januari namun wang pinjaman yang dinantikan tidak diperolehi sehingga laporan dibuat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -TVS