KUALA LUMPUR, 12 Jan: ELMLAB dan GPS Fleet bekerjasama untuk membangunkan pengesan telemetri yang akan membolehkan penyelesaian telemetri digital dalam pengurusan pengangkutan dengan memanfaatkan rangkaian 4G dan 5G.
ELMLAB, penyedia perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan, baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GPS Fleet, penyedia penyelesaian teknologi logistik dan pengurusan pengangkutan, untuk memperkukuh perkongsian tersebut.
“Bagi jangka panjang, perkongsian ini bertujuan memperkenalkan teknologi kepada industri yang lebih luas, menandakan langkah pertama ELMLAB ke arah visi menyediakan penyelesaian teknologi mampan untuk lebih banyak perniagaan Malaysia,” menurut ELMLAB dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, GPS Fleet akan bekerjasama dengan rakan firma kenderaan komersial dalam industri untuk mempercepat penggunaan penyelesaian telemetri digital seperti sistem pemantauan pemandu yang mempunyai ciri pengecaman wajah dan pemantauan langsung pengangkutan yang dimiliki syarikat menerusi kesambungan 4G dan 5G.
Sistem tersebut akan menyediakan pengesanan tepat terhadap keletihan, gangguan, merokok dan tingkah laku pemanduan yang buruk, jelas ELMLAB.
Pengarah ELMLAB, Choo Tzer Maan berkata, pihaknya komited dalam menerajui penggunaan pesat alat digital bagi membantu memacu terus kemajuan Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian Kelima.
“Kami gembira atas peluang bekerjasama dengan GPS Fleet untuk membantu perniagaan menggabungkan penyelesaian yang dibolehkan Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Menerusi usaha meningkatkan kecekapan pengurusan pengangkutan di samping memastikan keselamatan aset dan pemandu mereka, kami berharap dapat bergerak maju ke arah mewujudkan rantaian bekalan digital yang kukuh pada masa hadapan,” katanya. – TVS